Syed Husin Ali (SHA) telah lahir pada 23 September 1936 dan meninggal dunia pada 29 Jun 2024, ketika berumur 88 tahun.
Dengan berperginya SHA, maka padamlah sudah sebutir bintang yang begemerlapan menerangi selama lima dasawarsa di cakerawala Pengajian Malaysia yang didukung oleh bidang sains sosial.
Melalui disiplin antropologi sosial, beliau adalah salah seorang anak tempatan yang menjadi pelopor bidang sains sosial di Malaysia dalam dua jalur: mula-mulanya dalam bidang Pengajian Melayu dan kemudiannya dalam bidang Sains Sosial, khususnya dalam Pengajian Malaysia.
Beliau berpindah pada 1972 daripada Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Ketika itu, SHA mengajar kursus kebudayaan Melayu, sebelum berpindah ke Jabatan Antropologi & Sosiologi (ANSOS), Universiti Malaya.
Dalam jabatan terakhir ini, SHA mengajar kursus-kursus asas dalam disiplin antropologi dan sosiologi. Pada tahun yang sama beliau telah dilantik sebagai sebagai Profesor Madya dan Ketua Jabatan tersebut. Kemudian, SHA dilantik sebagai profesor pada 1988.
Daripada hujung tahun 1974 sehingga 1980, tokoh akademik berjiwa aktivis ini telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dicatat dalam tuduhannya kerana mengajar kursus yang bersifat radikal seperti Marxisme, Leninisme, Weberianisme dan beberapa lagi fahaman berasal dari Eropah yang dikatakan boleh menimbul kekacauan kepada negara.
Dalam dinding penjara ini sekalipun, tahanan politik ini tetap menyelia beberapa pelajar siswazah Sarjana dan Doktor Falsafah dan menjadi pemeriksa luar tesis siswazah. Lantaran penyeliaan berterusan inilah, maka tokoh akademik ini secara teknikalnya dianggap masih lagi meneruskan khidmatnya di UM meskipun berada dalam tahanan.
Bersama pimpinan Jabatan ANSOS, UKM, SHA telah mengasaskan tapak penubuhan Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM). Pada tahun 1978, semasa SHA melakukan ‘sabatikal’ dalam negeri dan beberapa rakan lainnya ‘bersabatikal’ di luar negeri, Zainal Kling dan Shamsul Amri Baharuddin dari ANSOS Universiti Malaya telah mendaftarkan PSSM dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. PSSM terus mekar, segar dan bugar dan kini berpengkalan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM.
Bagi mereka yang mengikuti rapat perjalanan akademik SHA, ada suatu perkara yang ramai terlepas pandang. Pada tahun 2004, Kursus Modul Hubungan Etnik (MHE) telah disediakan dan akhirnya dilancarkan pada awal 2007 sebagai matapelajaran wajib di semua IPTA dan kemudiannya di IPTS.
Institut Kajian Etnik (KITA), UKM telah ditubuhkan pada 8 Oktober 2007 untuk meneruskan pengisian kursus wajib ini melalui penyelidikan, persidangan, penulisan, penyeliaan, pengajaran dan khidmat pada masyarakat.
Tanpa disedari, seolah-olah sebagai susulan kepada usaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang mewujudkan Modul Hubungan Etnik dan KITA, SHA mengambil inisiatif menerbitkan buku Ethnic Relations in Malaya: Conflict and Harmony (2008), yang menyusur galur bagaimana etnisiti telah dimanipulasi.
Hal ini ditinjau SHA semenjak Merdeka, termasuklah menyatakan bahawasanya ahli-ahli politik Malaysia sentiasa berusaha meraih sokongan politik mereka dengan mengorban kepentingan rakyat. Ini telah disimpulkannya dalam buku tersebut seperti berikut:
“We know that conflicts and killings occur when one group tries to use race or ethnicity to perpetrate its racial and ethnic superiority and control over economic and political power. But we do not know of any easy solutions to these problems. Nevertheless, in the context of Malaysia and perhaps in many other countries as well, the establishment of social justice and democracy can go a long way towards improving the situation. By social justice, I mean a more equitable distribution of wealth. By democracy, I mean broader civil liberties, greater freedom and more people’s participation in the decision-making process (ms. 201).”
Kerangka dikotomi konflik & harmoni yang SHA huraikan adalah salah satu pendekatan yang terimbas dalam perjalanan awal KITA yang merupakan satu-satunya institut penyelidikan mengenai hubungan etnik di Malaysia.
Pada tahun 2014, KITA berinovasi dengan bergerak dari pendekatan dikotomi kepada pendekatan tripartite dalam mengungkapkan perpaduan nasional di Malaysia, iaitu Perpaduan, Kesepaduan, Penyatupaduan: Satu Negara, Satu Kata Akar, Tiga Konsep Keramat (2014).
Dalam konteks luas, sumbangan SHA boleh dianggap menjadi pemacu kepada pemikiran baru mengenai perpaduan nasional, yakni bukan lagi fahaman yang bersifat monolitik, sebaliknya mengutamakan realiti kesepaduan sosial di Malaysia: “agree to agree, agree to disagree”.
Faham baharu ini kemudiannya dimaktubkan dalam dokumen rasmi Kerajaan yang berikut: Indeks Perpaduan Nasional (2018), Dasar Perpaduan Negara (2020), Blueprint Perpaduan Negara (2021), Pelan Tindakan Perpaduan Negara (2022).
Mungkin natijah kepada dasar perpaduan negara ini tidak merupakan hajat akademik dan nurani aktivis perjuangan sebenar SHA. Ini adalah kerana, idea perpaduan ini ironinya digunakan oleh pemerintah yang ditentangnya dalam sebahagian besar hayatnya.
Namun di akhir-akhir hayatnya, sarjana aktivis yang juga merupakan ahli pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini telah menjadi sebahagian daripada pemerintah dewasa ini. Inilah kelebihan pemikiran SHA yang bersifat timeless dan borderless.
Kami keluarga di KITA berdoa agar rohnya ditempatkan bersama mereka yang soleh.
Shamsul Amri Baharuddin merupakan anak murid Syed Husin Ali. Beliau melakukan kajian sarjana di Universiti Malaya di bawah bimbingannya.
