Tajuk Buku: Kesepaduan Sosial dalam Kerencaman: Memahami Malaysia dalam Pengalaman Negatifnya (Working Title), Penerbit UKM
Anjuran: Kursi Tun Dr. Ismail (KTDI) dengan kerjasama Global Malaysian Studies Network (GMSN) dan Institut Kajian Etnik (KITA)
Abstrak Buku
Buku ini menyentuh persoalan kesepaduan sosial dalam masyarakat meskipun mereka berdepan dengan krisis, perbezaan dan pertentangan nilai. Lumrahnya, masyarakat secara tabii bersifat mandiri (self-description) kerana bentuknya bersandarkan struktur, budaya dan jaringan yang sudahpun mapan. Justeru, kesepaduan sosial (social cohesion) tidak sewajarnya difahami sebagai ketiadaan konflik, tetapi sebagai kemampuan masyarakat mengurus diri sendiri berdasarkan corak pengalaman sosial mereka. Dalam konteks Malaysia, kesepaduan sosial amat penting kerana masyarakat majmuk tidak bergantung semata-mata pada peranan kerajaan, institusi rasmi, dasar awam atau slogan politik. Sebaliknya, kesepaduan sosial tersebut sangat berkait rapat dengan proses harian dalam masyarakat—yang menghubungkan setiap individu, kumpulan, dan komuniti—ke arah pembentukan solidariti sosial (Emile Durkheim), sama ada secara organik mahupun mekanik. Lantaran itu, buku ini dirangka agar kesepaduan sosial di Malaysia difahami sebagai proses rekursif, iaitu suatu keadaan apabila setiap tragedi, insiden, peristiwa—termasuk ketegangan etnik, perdebatan agama, perubahan politik dan peredaran zaman—kembali menjadi faktor pendorong kepada penyusunan semula hubungan sosial yang sedia ada. Dengan itu, kesepaduan sosial bukan bererti keseragaman atau ketunggalan dalam masyarakat, tetapi kemampuan untuk melangsungkan kehidupan bersama (co-existence) yang kemudiannya membolehkan masyarakat terus berfungsi. Hal ini dari suatu sudut boleh diterangkan dengan beberapa konsep seperti imagined community (Ben Anderson), conceptualising the nation (Anthony Milner), nation-of-intent (Shamsul Amri Baharuddin), envisioning the nation (Abdul Rahman Embong), yang semuanya bertujuan untuk menjelaskan “what is holding society together” (Dick Baecker). Pendekatan seperti ini menawarkan kerangka yang lebih sesuai untuk memerihalkan cabaran Malaysia—yang bersifat kosmopolitan—yang dewasa ini berdepan dengan segala kerencaman. Ini sekali gus menjadikan projek perpaduan nasional (national unity) bukan sebagai keadaan pegun, tetapi sebagai projek berterusan yang sentiasa dirunding, diuji dan diperbaharui dalam ruang awam Malaysia (Juergen Habermas).
Apakah tema penulisan?
Penulisan setiap bab memberi tumpuan kepada perkaitan antara kesepaduan sosial, kajian kes dan pengalaman Malaysia. Wacana kesepaduan sosial telahpun dibincangkan oleh beberapa pemikir termasuklah Shamsul A.B. Selain itu kerangka teori sokongan boleh menggunakan pelbagai bahan seperti wacana mengenai kajian Malaysia (Shamsul A.B., Abdul Rahman Embong, Francis Loh, Syed Husin Ali, Syed Hussein Alatas, dll) nasionalisme (Ben Anderson, Anthony Smith, Earnest Gellner, Eris Hobswan, dll), teori kelas (Karl Marx), teori sistem (Niklas Luhmann, Dick Baecker), teori demokrasi deliberatif (Juergen Habermas), teori pengakuan (Axel Honneth) dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kajian kes digalakkan menyentuh mengenai pelbagai peristiwa negative dalam pengalaman Malaysia seperti Insiden 13 Mei 1969, peristiwa Memali, operasi Lalang, pembantaian Batang kali, pembantaian Sook Ching, Zaman Darurat, Reformasi 1998, pemberontakan al-Maunah, pencerobohan Lahad Datu, pandemik Covid-19 dan sebagainya. Kesimpulan dari setiap bab menunjukkan bagaimana masyarakat Malaysia dapat bertahan dan berkembang dalam setiap cabaran tersebut meskipun melalui pelbagai konflik.
Siapa yang dijemput menulis?
Projek buku ini mengundang semua yang berminat, terhadp untuk 30 peserta yang memohon dan terpilih sahaja. Walau bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada para pelajar pascasiswazah, pensyarah, penyelidik, dan aktivis sosial. Tarikh tutup pendaftaran pada 1 Jun 2026. Penulisan bab dalam buku ini menggunakan Bahasa Melayu. Manakala cadangan penerbit ialah Penerbit UKM. Pendaftaran untuk menyumbang tulisan menerusi borang di bawah.
Syarat penyertaan
Setiap peserta DIWAJIBKAN menyertai dua bengkel. Ini termasuklah (1) Bengkel Persediaan Manuskrip yang menampilkan Abdul Rahman Embong, Shamsul A.B., F. Budi Hardiman dan John Roosa. Bengkel secara fizikal ini akan menyediakan para peserta kaedah, alat dan bahan dalam mengamati persoalan kesepaduan sosial di Malaysia. Selain itu, setiap peserta juga dikehendaki membentangkan makalah akhir mereka dalam (2) Bengkel Manuskrip Akhir. Kedua-dua bengkel ini adalah percuma untuk peserta yang terpilih. Butiran bengkel-bengkel tersebut adalah seperti di bawah.
Bengkel Penyediaan Manuskrip
Tarikh: 23-25 Jun 2026
Tempat: Bilik mesyuarat KITA, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM
| Perkara | Masa | ||
| Kuliah (23 Jun 2026) (Selasa) | 10:00 pg – 1130 pg | Abdul Rahman Embong | Malaysia dan Perpaduan |
| 1130 pg – 1:00 tgh | Shamsul A.B | Kesepaduan Sosial | |
| 2:00 ptg – 4:00 ptg | F. Budi Hardiman | Siri Wacana KITA: Indonesia dan Demokrasi | |
| Kuliah (24 Jun 2026) (Rabu) | 9:00 pg – 11:00 pg | F. Budi Hardiman | Kuliah 1: Marxisme dan Teori Kritis |
| 11:00 pg – 1:00 tgh | F. Budi Hardiman | Kuliah 2: Teori Kritis Generasi Pertama: Horkheimer, Adorno, dan Marcuse | |
| Kuliah (25 Jun 2026) (Khamis) | 9:00 pg – 11:00 pg | F. Budi Hardiman | Kuliah 3: Teori Kritis Generasi Kedua: Habermas |
| 11:00 pg – 1:00 tgh | F. Budi Hardiman | Kuliah 4: Teori Kritis Pasca Habermas | |
| Kuliah (26 Jun 2026) (Jumaat) | 9:00 pg – 11:00 pg | John Roosa | The 30 September Movement |
| 11:00 pg – 1:00 tgh | John Roosa | The 30 September Movement aftermath |
Bengkel Pembentangan Manuskrip Akhir
Tarikh: 4-6 September 2026
Tempat: Institut Kajian Etnik (KITA), UKM
Biografi Para Pensyarah

F. Budi Hardiman merupakan profesor di Universitas Pelita Harapan (UPH), dan sebelum ini pernah berkhidmat di Sekolah Tinggi Filsafat (STF) Driyarkara. Sehingga ini beliau telahpun menulis 17 buku falsafah antara lain ialah, Kritik-Ideologi (1989), Heidegger dan Mistik Keseharian (2003), Demokrasi Deliberatif (2009), Seni Memahami (2015), Aku Klik Maka Aku Ada (2021), dan Kebenaran dan Para Kritikusnya (2023).

Abdul Rahman Embong merupakan profesor emeritus dalam sosiologi Pembangunan di Intitut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), University Kebangsaan Malaysia (UKM).

Shamsul Amri Baharuddin merupakan professor ulung yang kini menjadi Pengasas-Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), University Kebangsaan Malaysia (UKM).

John Roosa bertugas di University of British Columbia yang memberi tumpuan kepada sejarah Indonesia, keganasan politik, dan politik ingatan. Beliau ialah penulis Pretext for Mass Murder: The September 30th Movement and Suharto’s Coup d’État in Indonesia serta Buried histories: The anticommunist massacres of 1965–66 in Indonesia, dua karya penting yang meneliti peristiwa keganasan 1965–1966 di Indonesia dan dampak politiknya yang berpanjangan.
Bacaan Lanjut
Baecker, Dick. What is Holding Society Together
Shamsul A.B.
Abdul Rahman Embong
Anderson, Ben
F. Budi Hardiman. 2025. Jiwa Kolektif: Rampaian Fenomena Massa. Bangi: Kawah Buku.
F. Budi Hardiman. 2005. Memahami Negativitas: diskursus tentang massa, teror, dan trauma. Jakarta: Kompas.
Shamsul, A. B. (2003). Membina Bangsa Malaysia [Building a Malaysian Nation), Vol. 1, 2 & 3,
Kuala Lumpur: Jabatan Perpaduan Negara [co-edited with Rahimah A.Aziz, Abdul
Rahman Embong, Mohamed Yusoff Ismail, KamaruddinM.Said].
Shamsul, A. B., and Daud, S. (2006). “Nation, Ethnicity and Contesting Discourse
in the Malaysian State” in State Making in Asia, edited by Richard Boyd and TakWing Ngo, London and New York: Routledge (131-140).
Shamsul, A. B. (1996). “Nations-of-Intent in Malaysia,” in Asian Forms of the
Nation, edited by Stein Tonnesson and Hans Antlov, London: Curzon and
Nordic Institute of Asian Studies (323-47).
Shamsul, A. B. (2011). “Reconnecting the Nation and the State‟: The Malaysian Experience”,
in Shamsul A.B.: His Observations, Analyses and Thoughts”, edited by Anis Yusal Yusoff.
Bangi: Institute of Ethnic Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia
Hobsbawm, E. (1990). Nations and Nationalism since 1780. Cambridge: Cambridge
University Press.
Anderson, B. (1996). Imagined Communities: reflections on the origin and spread of
nationalism. London: Verso.
Perhubungan:
Ramze Endut, Ph.D
Penyelaras-Bersama GMSN merangkap Pengurus KTDI
ramze@ukm.edu.my
