Global Malaysian Studies Network (GMSN) mewakili Pengarah KITA telah menyertai Perbincangan Kumpulan Bertumpu (FGD) yang diadakan di Bangi Resort Hotel pada 31 Mac 2026. FGD ini bertemakan “Kompentesi Akademia dalam Pembangunan Dasar melalui Penyelidikan dan Projek Perundingan.” Program ini dianjurkan oleh UTM Encouragement Grant. Selain UKM, FGD ini disertai oleh beberapa universiti utama di Malaysia. Ini termasuklah UM, USM, UTM dan UPM.
Dapatan FGD ini merupakan sokongan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sebelum ini dilakukan terlebih dahulu terhadap Kumpulan Pelaksana. Penganjur telah menjalankan temubual dengan beberapa pegawai-pegawai kerajaan dalam meneliti kompetensi akademia dalam pembangunan dasar. Dalam FGD ini, mereka menerapkan teori kapasiti dasar (policy capacity) dan menggunakan kaedah yang bersifat kualitatif iaitu temubual dan FGD.

Sepanjang FGD ini, beberapa siri perbincangan telahpun dilakukan.Perbincangan ini bermula dengan suai kenal apabila setiap peserta diminta memperkenalkan diri secara ringkas. Setelah itu, para peserta diminta untuk berkongsi idea secara individu yang merakamkan pengalaman mereka dalam menjalankan kajian dasar. Susulan daripada maklumat yang diperoleh ini, maka langkah berikutnya ialah perbincangan berstruktur apabila ketua kumpulan mulai melontarkan soalan yang bersifat separa struktur (semi-structured).
Antara persoalan yang dibangkitkan dalam sesi perbincangan berstruktur ini ialah perkara yang melibatkan Penulisan Kertas Cadangan, Pelaksanaan Kajian, dan Penyampaian & Penyerahan Output Kajian. Selain itu, sesi ini juga memberi tumpuan kepada cabaran dalam kajian dan pembangunan dasar, selain sokongan-sokongan yang diperlukan.

Akhir sekali, sesi pembentangan setiap kumpulan yang berkongsi dapatan masing-masing. Hasil utama yang ditekankan ialah kepentingan mengurus penyelidikan khususnya kemahiran mengambil risiko, berdiplomasi dan membuat keputusan. Pendek kata, setiap penyelidikan berkenaan dasar memerlukan bukan sahaja pasukan yang lengkap, tetapi juga pentadbir yang cekap.
