Menuju Kesepaduan Sosial: Warisan Pemikiran, Pembinaan Institusi Ilmu dan Sumbangan Dasar Awam

Pengenalan Seminar
Institut Kajian Etnik (KITA) akan menganjurkan seminar bertajuk “Menuju Kesepaduan Sosial: Warisan Pemikiran, Pembinaan Institusi Ilmu dan Sumbangan Dasar Awam” sempena memperingati 50 tahun khidmat akademik Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, FASc di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seminar yang akan diadakan pada 24-25 November 2026 di UKM ini bakal menampilkan beberapa pembentang ucaptama yang mengikuti rapat pemikiran Shamsul AB.
Shamsul AB dilahirkan di Jempol, Negeri Sembilan dan memperoleh pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (RMC) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM). Di universiti yang sama, beliau menyelesaikan pengajian sarjananya di bawah bimbingan Syed Husin Ali ketika penyelianya itu ditahan di Kem Tahanan Kamunting. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian PhD di Monash University di bawah bimbingan Michael G. Swift yang terkenal dengan kajiannya tentang masyarakat Negeri Sembilan. Dalam konteks ini, Shamsul AB boleh dianggap sebagai penerus suatu jalur intelektual yang menghubungkan Bronisław Malinowski (1884–1942), Raymond Firth (1901–2002), dan Michael G. Swift yang setiapnya mempunyai hubungan sebagai guru dan murid.
Sejak berkhidmat di UKM mulai Mei 1976, beliau telah diberi amanah oleh pihak universiti dan kerajaan untuk memimpin, membina dan mereformasi pelbagai institusi akademik. Melalui peranan tersebut, beliau bukan sahaja memperkukuh institusi berkenaan, malah turut membentuk arah perkembangan dan meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap institusi tersebut.
Sebagai rekod, Shamsul AB pernah menjadi Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dari tahun 1997 hingga 1999. Beliau kemudiannya memimpin beberapa institut penyelidikan di UKM, termasuk Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dari tahun 1999 hingga 2007. Beliau juga mengasaskan Institut Kajian Oksidental (IKON) pada tahun 2003 dan memimpinnya sehingga tahun 2007, sebelum mengasaskan Institut Kajian Etnik (KITA) yang kini dipimpinnya sejak tahun 2007. Bahkan, dibawah kepimpinannya, KITA telah dimartabatkan sebagai Institut Kebangsaan yang terakam dalam Belanjawan Negara 2017.
Menyentuh mengenai kepimpinan akademik, pada tahun 1995, Shamsul AB turut menghasilkan kertas cadangan bagi penubuhan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) yang dirancang sebagai sebuah pusat rujukan utama dalam bidang Pengajian Malaysia.
Selama lebih setengah abad, Shamsul AB telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan sains sosial di Malaysia secara umumnya dan antropologi sosial secara khususnya. Pada tahun 2010, beliau dianugerahi gelaran Profesor Ulung oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Anugerah ini meletakkan beliau sebaris dengan tokoh dalam bidang lain seperti Professor Ulung Dr. Harith Ahmad (2010), Professor Ulung Dr. Kamal Hassan (2010), Professor Ulung Dr. Looi Lai Ming (2016), dan Professor Ulung Dr. Rajah Rasiah (2018). Sumbangan beliau turut mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Asia Fukuoka pada tahun 2008. Pengiktirafan tersebut sekali gus menempatkan beliau sebaris dengan tokoh terkemuka seperti Profesor Diraja Ungku Aziz (1993), Wang Gungwu (1994), Benedict Anderson (2000), James C. Scott (2010), Azyumardi Azra (2014), Clifford Geertz (1992) dan Taufik Abdullah (1991).
Sepanjang tempoh 50 tahun itu, Shamsul AB telah membina kedudukan sebagai seorang ahli akademik dalam kelasnya yang tersendiri. Dalam perkembangan bidang antropologi dan sosiologi di Malaysia, beliau tergolong dalam generasi kedua selepas generasi Abdul Kahar Bador, Mokhzani Rahim, Syed Husin Ali dan Syed Hussein Alatas. Kebanyakan daripada generasi awal ini mempunyai keterlibatan bukan sahaja dalam bidang professional mereka, tetapi juga bergelumang dalam arus kemasyarakatan. Ini terungkap dalam catatan Asmah Haji Omar bahawasanya “Shamsul’s work is accessible to the Malaysian society owing to his ability to write in aesthetic way without neglecting the critical content. He is a kind of scholar that possesses the raw talent and outstanding ability in bridging between the academia and the rakyat.”
Sehingga kini, beliau telah memperkenalkan dan mengembangkan sejumlah konsep yang kini digunakan secara meluas dalam sains sosial, antaranya stable tension, nation-of-intent, everyday-defined dan authority-defined, social cohesion, tri-concept of unity, colonial knowledge, agree to disagree, oppositionism dan mamakization. Keseluruhan gagasan tersebut mencerminkan usaha generasi awal sains sosial di Malaysia yang giat mengisi makna kemerdekaan negara melalui pemikiran tentang identiti kebangsaan, integrasi nasional, dan pembinaan negara bangsa. Malah, Wang Gungwu, sarjana yang tak perlu diperkenalkan lagi, pernah mengulas pelbagai gagasan Shamsul AB sebagai:
“Over the years, I have again and again been struck by the way Shamsul A. B. turned his field into a launching pad to examine larger questions of national identity, multiculturalism and ethnic relations.”
Ketekunan Shamsul AB dalam bidang ilmu ini sangat ketara apabila dalam tempoh dua dekad terakhir beliau telah menyampaikan lebih 100 ucaptama di dalam dan luar negara, selain terlibat dari awal dalam membina komuniti ilmu menerusi Global Malaysian Studies Network (GMSN), Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan Majlis Profesor Negara (MPN). Ini tidak termasuk dengan peranan beliau dalam pembangunan modul hubungan etnik, matapelajaran umum (MPU) serta penglibatan aktif dalam National Policy of Unity (2020), Blueprint of National Policy (2021-2030), National Unity Index Study (2018, 2022, 2025), National Consultative Council (NUCC 2013-2015) dan National Unity Action Plan (2021-2030). Beliau juga kini merupakan penyandang UNESCO Chair (Communication & Social Cohesion) @ UKM, selain Felo Academy of Science Malaysia (FASc).
Seminar ini dirancang untuk menghimpunkan bukan sahaja rakan akademik beliau dari dalam dan luar negara serta para pelajarnya, tetapi juga para sarjana dan pembaca yang tekun mengikuti alur pemikirannya. Lebih daripada itu, seminar ini bukan sekadar majlis meraikan jubli emas khidmat akademik beliau, tetapi acara untuk menilai secara kritis warisan-warisannya sama ada dalam bidang akademik, kepimpinan universiti dan khidmatnya untuk negara. Semua makalah yang kelak dibentangkan akan dihimpunkan dalam sebuah festschrift yang diharapkan dapat memperkaya khazanah sains sosial di Malaysia.
Buku-buku Shamsul AB (Terpilih):
Shamsul AB. 2022. Readings on Malaysia: Selected Essays by Shamsul A.B., (Ed) Anis Yusal Yusoff. Bangi: GMSN-KITA.
Shamsul AB. 2004. From British to Bumiputera Rule: Local Politics and Rural Development in Peninsular Malaysia. Singapore: ISEAS.
Shamsul AB. 2007. Budaya yang Tercabar. Kuala Lumpur: DBP.
Shamsul AB. 1990. Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: DBP.
Shamsul AB. 1982. Daun-daun Kemarau. Subang Jaya: Tra-Tra Publishing
Shamsul AB. RMK: 1977. Tujuan dan Perlaksanaannya. Kuala Lumpur: DBP.
Siapa yang dijemput membentang?
Seminar ini akan menampilkan beberapa pemberi ucaptama yang mengikuti rapat pemikiran dan kegiatan Shamsul AB. Walau bagaimanapun, seminar ini turut terbuka kepada semua yang berminat untuk membentangkan makalah mereka mengenai Shamsul AB khususnya berkaitan dengan warisan pemikirannya, penglibatannya dalam institusi ilmu dan sumbangan dasar awamnya. Buku seminar ini dicadangkan untuk diterbitkan oleh Penerbit UKM. Pendaftaran untuk membentang dan menyumbang makalah menerusi borang di bawah. Makalah boleh ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Borang Pendaftaran Abstrak
Tentatif Acara
| HARI PERTAMA (SELASA, 24 NOVEMBER 2026) | |
| 8.00 pagi – 9.00 pagi | Pendaftaran peserta |
| 9:00 pagi – 9:45 pagi | Ucapan alu-aluan dan Perasmian |
| 9:45 pagi – 10.30 pagi | Ucaptama Pembukaan: Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin |
| 10.30 pagi – 11.30 pagi | Panel 1 |
| 11.30 pagi – 12.30 tgh | Panel 2 |
| 12.30 tgh – 2.00 petang | Makan Tengahari |
| 2.00 petang – 2:45 petang | Ucaptama 2 |
| 2.45 petang – 3.45 petang | Panel 3 |
| 3:45 petang – 4:45 petang | Panel 4 |
| HARI KEDUA (RABU, 25 NOVEMBER 2026) | |
| 9:00 pagi – 9:45 pagi | Ucaptama 3 |
| 9:45 pagi – 10.45 pagi | Panel 5 |
| 10.45 pagi – 11.45 pagi | Panel 6 |
| 11.45 pagi – 12.30 tgh | Panel 7 |
| 12.30 tgh – 2.00 petang | Makan Tengahari |
| 2.00 petang – 2:45 petang | Ucaptama 4 |
| 2.45 petang – 3.45 petang | Panel 8 |
| 3:45 petang – 4:45 petang | Panel 9 |
Tarikh-tarikh penting
| 1 September 2026 | Tarikh akhir penghantaran abstrak |
| 1 November 2026 | Tarikh akhir penghantaran makalah penuh |
| 24-25 November 2026 | Seminar |
| 2027 | Buku Seminar diterbitkan |
Jawatan Kuasa Seminar
| Penasihat | Prof. Madya Dr.Zaini Othman |
| Pengerusi | |
| JK Kertas Seminar & Penerbitan | |
| JK Jemputan | |
| JK Logistik & Tempahan | |
| JK Protokol | |
| JK Laman Web | |
| JK Pereka | |
| JK Promosi | |
| JK Urusetia |
Perhubungan:
Ramze Endut, Ph.D
Penyelaras-Bersama GMSN merangkap Pengurus KTDI
ramze@ukm.edu.my
