Pendahuluan
Bengkel Persediaan Makalah Projek Buku (KTDI) anjuran Kursi Tun Dr. Ismail (KTDI), Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Kerjasama Global Malaysian Studies Network (GMSN) telah berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2026 di Bangi Resort Hotel. Bengkel ini menghimpunkan 30 peserta terdiri daripada ahli akademik dan bukan akademik seperti penyelidik, pensyarah, pengarah dan pelajar pascasiswazah yang berkumpul sebagai sebuah kumpulan penulis yang akan terlibat dalam projek penerbitan buku suntingan.
Sepanjang tiga hari bengkel tersebut, para peserta telah mengikuti siri kuliah yang disampaikan oleh beberapa tokoh akademik terkemuka, antaranya Prof. Dr. Fransisco Budi Hardiman, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Prof. Dr. John Roosa. Selain itu, peserta turut membentangkan abstrak bab makalah masing-masing bagi mendapatkan ulasan dan cadangan penambahbaikan daripada panel penilai yang berpengalaman. Keseluruhan pengisian bengkel disusun secara sistematik bagi membina kefahaman peserta daripada aspek teori, konsep, analisis sehinggalah kepada aplikasi dalam penulisan bab dalam projek makalah ini.
Latar Belakang Ringkas Projek Buku KTDI
Sebagai pengenalan, Projek Buku KTDI ini adalah sebahagian daripada aktiviti-aktiviti KTDI. Projek buku ini dengan tajuk tentatif “Mengurus Kerencaman: Kesepaduan Sosial dalam Pengalaman Negatif” dijangka diterbitkan oleh salah sebuah penerbit tersohor pada tahun 2027.
Penerbitan ini akan menyentuh persoalan kesepaduan sosial dalam masyarakat di Malaysia yang sentiasa berdepan dengan krisis, perbezaan dan pertentangan nilai. Setiap bab dalam penulisan akan memberi tumpuan kepada perkaitan antara kesepaduan sosial, kajian kes dan pengalaman Malaysia.
Melalui projek penulisan ini, para peserta diminta untuk menyediakan sebuah makalah dalam Bahasa Melayu mengikut format yang ditetapkan. Selain peserta juga diwajibkan untuk menyertai tiga bengkel yang disediakan oleh pihak penganjur untuk membantu membimbing penulisan dalam penyediaan manuskrip dan pembentangan bab dalam makalah. Ini termasuklah bengkel pertama iaitu Bengkel Persediaan Makalah, manakala dua bengkel berikutnya ialah Bengkel Pembentangan Makalah dan Bengkel Pemurniaan Makalah.
Pengisian Bengkel

Bengkel Penyediaan Makalah ini dimulakan dengan siri kuliah oleh Prof. Dr. Fransisco Budi Hardiman (dalam gambar di atas) yang membincangkan perkembangan “Marxisme dan Teori Kritis” serta Teori Kritis Generasi Pertama bermula daripada Generasi Pertama sehingga Generasi Ketiga. Beliau menjelaskan bahawa Teori Kritis yang berkembang daripada Mazhab Frankfurt bukan sekadar bertujuan memahami masyarakat, tetapi berusaha mengkritik struktur dominasi dan mendorong pembebasan sosial. Perbincangan mengenai pemikiran Max Horkheimer, Theodor Adorno dan Herbert Marcuse memperlihatkan bagaimana rasionaliti moden boleh berubah menjadi instrumen dominasi sekiranya tidak diimbangi dengan kesedaran kritis.
Perbincangan diteruskan dengan Teori Kritis Generasi Kedua yang dipelopori oleh Jürgen Habermas. Melalui teori tindakan komunikatif dan demokrasi deliberatif, peserta didedahkan kepada kepentingan komunikasi rasional sebagai asas pembentukan konsensus dalam masyarakat majmuk. Kuliah kemudiannya diteruskan dengan Generasi Ketiga yang dipelopori oleh Axel Honneth yang menekankan konsep pengakuan (recognition) terhadap maruah manusia sebagai asas keadilan sosial. Siri kuliah ini memberikan kefahaman bahawa teori bukan sekadar kerangka konseptual, malah berfungsi sebagai alat analisis dalam memahami realiti sosial serta membina penghujahan akademik yang lebih kritis.

Sesi seterusnya diteruskan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong melalui syarahan bertajuk Negara-Bangsa: Gagasan dan Praktik Merentasi Liku-Liku Zaman. Beliau menghuraikan kepada para peserta (dalam gambar di atas) bahawa pembinaan negara-bangsa merupakan suatu proses sejarah yang sentiasa berkembang mengikut perubahan politik, ekonomi dan sosial. Dalam masyarakat yang bersifat majmuk seperti Malaysia, pembentukan identiti nasional memerlukan keseimbangan antara kewarganegaraan, kepelbagaian budaya dan perpaduan nasional.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong membincangkan konsep negara-bangsa.
Bengkel ini dilengkapkan dengan syarahan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin mengenai konsep Mimpi Negara-Bangsa. Beliau menjelaskan bahawa negara-bangsa bukanlah suatu entiti yang telah sempurna, sebaliknya merupakan suatu cita-cita bersama (nation-of-intent) yang sentiasa melalui proses rundingan, penyesuaian dan pembinaan mengikut konteks sejarah dan masyarakat. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin turut berkongsikan alat analisis sebuah kajian penyelidikan agar para peserta lebih jelas dan memahami kajian yang ingin dilakukan terutama dalam memahami pembinaan negara bangsa, identiti dan hubungan masyarakat. Sesi ini membantu peserta memperluaskan perspektif dalam menganalisis isu-isu sosial secara lebih kritis.

Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin sedang berkongsi mengenai Mimpi Negara Bangsa: Alat Analisis.
Hari terakhir bengkel diteruskan dengan syarahan oleh Prof. Dr. John Roosa (dalam gambar di bawah bersama para peserta) yang membincangkan dua aspek penting dalam penulisan sejarah, iaitu Events and Non-events in the Writing of History serta Analysis and Storytelling in Writing Histories of Violence. Dalam syarahan pertama, beliau menjelaskan bahawa sejarah bukan sekadar himpunan peristiwa yang berlaku, tetapi merupakan hasil proses pemilihan, pentafsiran dan pembinaan makna oleh ahli sejarah. Sesuatu peristiwa menjadi signifikan kerana masyarakat dan sejarawan mengiktirafnya sebagai penting, manakala terdapat juga pelbagai “non-events” yang sering dipinggirkan walaupun mempunyai implikasi besar terhadap masyarakat. Oleh itu, ahli sejarah perlu bersikap kritis dalam menentukan sempadan sesuatu peristiwa, memahami konteks sosial dan politiknya serta menilai bagaimana perubahan kuasa mempengaruhi pembentukan naratif sejarah.

Dalam syarahan kedua, Prof. Roosa menekankan bahawa penulisan sejarah yang berkualiti memerlukan keseimbangan antara analisis dan penceritaan (analysis and storytelling). Penyelidikan sejarah tidak memadai sekadar menyusun kronologi peristiwa, malah perlu menjawab persoalan “mengapa” dan “bagaimana” sesuatu peristiwa berlaku. Pada masa yang sama, unsur penceritaan penting bagi memastikan pengalaman manusia, emosi mangsa dan konteks sosial dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada pembaca. Gabungan kedua-dua pendekatan ini membolehkan karya sejarah bukan sahaja mempunyai kekuatan analisis, malah mampu membina naratif yang bermakna serta mudah difahami tanpa mengorbankan ketepatan akademik.
Sesi Pembentangan Abstrak Para Peserta
Salah satu komponen terpenting bengkel ialah sesi pembentangan abstrak makalah oleh para peserta. Sesi ini memberi peluang kepada setiap peserta membentangkan cadangan makalah masing-masing sebelum menerima ulasan daripada Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dan Prof. Madya Dr. Zaini Othman.
Panel memberikan penekanan awal terhadap beberapa aspek penting, antaranya kejelasan tajuk dan keseragaman hala tuju kajian dengan objektif penerbitan buku KTDI, KITA-UKM ini. Perbincangan yang berlangsung secara terbuka membolehkan para peserta mengenal pasti potensi penambahbaikan dalam penyelidikan masing-masing sebelum proses penulisan makalah diteruskan.

Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong bersama sebahagian peserta yang membentang cadangan tajuk kajian mereka.

Prof. Madya Dr. Zaini Othman bersama barisan peserta dan urusetia bengkel.
Refleksi Peserta
Bagi menilai keberkesanan penganjuran Bengkel Persediaan Makalah Projek Buku KTDI–KITA UKM 2026, satu borang maklum balas telah diedarkan kepada semua peserta pada penghujung program. Berdasarkan respons yang diterima, majoriti peserta memberikan penilaian yang amat positif terhadap keseluruhan bengkel. Aspek bahan bengkel memperoleh skor purata tertinggi iaitu 4.50 daripada 5, diikuti lokasi bengkel (4.44), makanan (4.44), teknikal (4.38) dan pengurusan urusetia (4.31). Dapatan ini menunjukkan tahap kepuasan peserta yang tinggi terhadap aspek penganjuran dan pengisian program.
Dari sudut kandungan ilmiah, peserta berpandangan bahawa siri kuliah yang disampaikan oleh Prof. Dr. Fransisco Budi Hardiman, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Prof. Dr. John Roosa berjaya memperluaskan perspektif mereka terhadap Teori Kritis, negara-bangsa, historiografi dan metodologi penulisan akademik. Sebahagian besar peserta menyatakan bahawa mereka memperoleh kerangka pemikiran baharu yang boleh diaplikasikan dalam penyediaan bab makalah masing-masing.
Maklum balas peserta turut menunjukkan bahawa bengkel ini membantu mereka melihat penyelidikan daripada perspektif yang lebih kritis dan rentas disiplin. Sesi pembentangan abstrak memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan terhadap penyelidikan masing-masing. Ulasan panel membantu peserta menilai semula aspek seperti fokus kajian masing-masing. Selain itu, pembentangan rakan-rakan daripada pelbagai bidang turut membuka peluang kepada peserta untuk memahami pendekatan penyelidikan yang berbeza serta memperluaskan perspektif dalam menghasilkan makalah yang lebih selaras dengan objektif penerbitan buku ini. Antara pandangan yang dikemukakan ialah bengkel ini memberi idea baharu untuk menulis daripada sudut analisis yang berbeza dan membuka ruang konseptual yang menghubungkan sosiologi, sains politik dan dasar awam. Beberapa peserta turut menyatakan bahawa perbincangan mengenai event dan non-event dalam penulisan sejarah telah mengubah cara mereka memahami proses pembinaan naratif sejarah dan penghujahan akademik.
Dari aspek penambahbaikan, peserta mencadangkan agar tempoh perbincangan dan sesi pembentangan diperluaskan supaya lebih banyak interaksi dapat dilakukan antara peserta dan penceramah. Selain itu, terdapat cadangan agar bengkel pada masa hadapan melibatkan lebih ramai pakar daripada pelbagai disiplin bagi memperkayakan lagi perspektif perbincangan. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya peserta menyifatkan bengkel ini sebagai satu wahana ilmiah yang berjaya mencapai objektifnya dan wajar diteruskan pada masa hadapan.
Penghargaan
Penganjuran ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa komitmen daripada seluruh jawatankuasa pelaksana. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada Pengurus Kursi Tun Dr Ismail, Dr. Ramze Endut dan barisan urusetia (iaitu Puan Syazana, Puan Hezreen, Puan Suhaiza, Encik Sham, Encik Mohd Norakmar) atas dedikasi dalam menguruskan kelancaran bengkel. Penghargaan yang sama turut dizahirkan kepada semua penceramah, panel penilai dan peserta yang telah menjayakan bengkel ini melalui perkongsian dan perbincangan ilmiah
Walaupun terdapat beberapa cadangan penambahbaikan, umumnya semua pihak berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wasilah intelektual dalam pembangunan akademik dan penghasilan karya ilmiah yang berkualiti.
Laporan disediakan oleh Siti Suhaiza Senin, Pembantu Penyelidik Siswazah (GRA), Kursi Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
