Kursi Perpaduan Tun Dr. Ismail (KTDI), Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Pembentangan Makalah Siri 2 pada 9 hingga 10 September 2026 di Royale Chulan Hotel, Seremban, Negeri Sembilan. Bengkel dua hari satu malam ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Persediaan Makalah Siri 1 yang telah diadakan pada 24 hingga 26 Jun 2026. Bengkel ini menjadi sebahagian daripada projek penulisan buku KTDI yang memberi tumpuan kepada isu kesepaduan sosial dan masyarakat di Malaysia.

Bengkel Siri 2 dianjurkan sebagai wadah untuk para penulis membentangkan draf makalah masing-masing. Melalui bengkel ini, mereka juga mendapat pandangan, ulasan dan cadangan daripada penilai bagi memperkemas serta meningkatkan mutu makalah. Seramai 25 orang menghadiri bengkel ini, iaitu 19 orang pembentang, dua orang penilai, seorang pengurus KTDI dan tiga orang urus setia.

Sesi pembentangan dinilai oleh dua orang sarjana, iaitu Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin sebagai penilai utama dan Profesor Dr. Supyan Hussin. Setiap penulis membentangkan bab yang sedang diusahakan. Pada akhir setiap pembentangan, penilai mengemukakan ulasan dan cadangan untuk memperkukuh hujah, struktur dan penyampaian makalah.

Sebanyak 19 makalah telah dibentangkan. Makalah-makalah ini merangkumi pelbagai tema, iaitu federalisme, identiti dan memori, peminggiran, orang kurang upaya (OKU), defisit sosial, radikalisme, hubungan etnik, solidariti dan komuniti sukarelawan. Kepelbagaian tema ini memperlihatkan keluasan wacana kesepaduan sosial yang menjadi asas projek penulisan KTDI. Ia juga menunjukkan bahawa persoalan perpaduan dapat didekati dari pelbagai sudut disiplin dan pengalaman masyarakat.

Bengkel ini diakhiri dengan sesi rumusan dan amanat oleh Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin. Dalam ucapannya, beliau mengupas hala tuju projek penulisan dan perkembangan KTDI pada masa hadapan dengan menekankan tiga perkara. Pertama, projek buku KTDI wajar menjadi landasan penglibatan dan kerjasama para penulis. Kerjasama ini seterusnya dapat membina jaringan yang lebih kukuh dan diperluas ke peringkat antarabangsa. Kedua, KTDI perlu terus memperkukuh dan memperluas kegiatannya. Ketiga, KTDI diharap dapat menghasilkan sumbangan ilmu yang baharu dalam bidang berkaitan. Usaha ini penting bagi meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan KTDI di peringkat nasional dan antarabangsa.

Secara keseluruhannya, Bengkel Pembentangan Makalah Siri 2 telah berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh dan menambah baik hasil penulisan para peserta. Projek ini akan diteruskan dengan fasa akhir pemurnian makalah dalam Bengkel Siri 3 yang dijadualkan pada 25 hingga 26 November 2026. Kesinambungan siri bengkel ini diharap dapat mengeratkan kerjasama dalam kalangan penulis dan menyumbang kepada penghasilan makalah yang bermutu tinggi.

Laporan ini disediakan oleh Siti Suhaiza Senin, Pembantu Penyelidik Siswazah (GRA) di Kursi Tun Dr Ismail (KTDI)

Leave a Reply